Singapura benarkan import produk darah babi sebagai sumber makanan selepas 27 tahun larangan
SINGAPURA – Kerajaan Singapura kini membenarkan semula import produk darah babi selepas 27 tahun larangan yang dilaksanakan sejak tahun 1999 susulan penularan wabak virus Nipah.
Agensi Makanan Singapura (SFA) memaklumkan bahawa kelulusan telah diberikan kepada sebuah rumah sembelih di Thailand untuk mengeksport produk darah babi yang telah diproses melalui rawatan haba ke negara itu, berkuat kuasa 1 April lalu.
Keputusan tersebut dibuat selepas penilaian keselamatan makanan mendapati bahawa produk berkenaan selamat untuk dimakan sekiranya proses pengumpulan, pemprosesan dan penyimpanan mematuhi piawaian kesihatan yang ketat.
Sebelum ini, larangan dikenakan kerana darah haiwan berisiko tinggi menjadi medium pembiakan bakteria serta boleh membawa patogen berbahaya jika tidak dikendalikan secara bersih.
Menurut SFA, setiap penghantaran produk perlu disertakan sijil kesihatan rasmi yang mengesahkan ia memenuhi keperluan keselamatan makanan dan kesihatan haiwan yang ditetapkan.
Selain itu, hanya sumber yang diluluskan sahaja dibenarkan untuk mengeksport produk tersebut ke Singapura, termasuk memastikan darah diambil daripada haiwan yang sihat serta diproses mengikut prosedur yang dikawal rapi.
Produk berkenaan dijangka mula memasuki pasaran Singapura dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang selepas semua urusan dokumentasi, pembungkusan dan pengedaran diselesaikan.
oleh LIPUTAN7
2 April 2026
SINGAPURA πΈπ¬
#liputan7 #Singapura #keselamatanmakanan #kesihatan