Tiga Lelaki Berkostum ‘Katak’ Dicekup Kerana Mengemis Di Tengah Jalan
JOHOR BAHRU – Taktik tiga lelaki mengenakan kostum maskot karakter katak bagi meraih simpati orang awam berakhir apabila mereka ditahan dalam satu Operasi Khas Maskot yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru pada Jumaat.
Operasi ad-hoc yang bermula sekitar jam 10 pagi hingga 9.30 malam itu dilaksanakan susulan aduan orang ramai mengenai peningkatan kegiatan mengemis menggunakan pakaian maskot, terutama menjelang Ramadan.
Antara lokasi dikenal pasti sebagai tumpuan ialah persimpangan lampu isyarat berhampiran Angsana serta Jalan Padi Emas 1, Bandar Baru Uda yang sering menjadi laluan sibuk dan kawasan tumpuan pengunjung bazar Ramadan.
Hasil pemantauan mendapati ketiga-tiga individu terbabit menjalankan aktiviti meminta sedekah di pembahagi jalan dan persimpangan lampu isyarat, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Mereka kemudiannya dibawa ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru untuk diambil keterangan serta direkodkan maklumat latar belakang sebelum dilepaskan dengan amaran lisan dan bertulis selepas menandatangani aku janji di hadapan pegawai penguat kuasa.
Pihak berkuasa turut memaklumkan tindakan lebih tegas di bawah Akta Orang Papa 1977 boleh dikenakan sekiranya kesalahan sama berulang.
Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan bantuan melalui saluran yang sah dan berdaftar bagi memastikan sumbangan sampai kepada golongan benar-benar memerlukan.
oleh LIPUTAN7
1 Mac 2026
#liputan7 #JohorBahru #Ramadan
