Lelaki Ditahan Kes Bantah Laungan Azan Dan Solat Jumaat Kerana Tidak Berpuas Hati Atas Kesesakkan Lalu Lintas
SHAH ALAM – Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan polis selepas dipercayai membuat bantahan terhadap pelaksanaan solat Jumaat dan laungan azan di sebuah surau di Taman Seraya, Ampang.
Siasatan awal mendapati tindakan lelaki tersebut dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap kesesakan lalu lintas yang berlaku ketika waktu solat Jumaat.
Menurut pihak berkuasa, suspek bertindak secara individu dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak luar. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat faktor lain yang menyumbang kepada kejadian tersebut.
Lelaki berkenaan ditahan di kawasan Pandan Indah sekitar jam 3 petang dan kini direman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, pihak pengurusan surau membuat laporan polis susulan dakwaan terdapat individu yang membantah aktiviti keagamaan termasuk azan, solat berjemaah dan penggunaan ruang luar surau, sehingga mencetuskan ketegangan dalam komuniti setempat.
Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan sikap toleransi dan saling menghormati dalam masyarakat majmuk, selain menyalurkan sebarang ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul bagi mengelakkan konflik serta provokasi.
oleh LIPUTAN7
28 April 2026
MALAYSIA 🇲🇾
#liputan7 #Ampang #IsuSemasa #3R #Keselamatan